FADHILAT
QURBAN DAN AQIQAH
Kedua-dua ibadah ini adalah
antara amalan mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadhilatnya,
tetapi malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman
menerka mengenainya, sehinggakan ada yang memandang ringan walaupun mempunyai
kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan qorban dan aqiqah ini.
Semoga dengan penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita
semua tentang ibadat Qurban serta Aqiqah serta keinginan untuk sama-sama
mencari pahala kedua ibadah ini akan meningkat.
Apakah sebenarnya qurban dan aqiqah itu? Apakah hukum melakukannya? Berapa kali kita
dituntut melakukan qurban sepanjang hayat kita? Apakah syarat-syarat binatang
yang dikorbankan? Apakah perbezaan antara qurban dan aqiqah? Bolehkah seekor
lembu dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahaian untuk aqiqah? Apakah
hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?
Demikianlah antara masalah
yang akan cuba kita kupas serta perjelaskan dibahagian ini dan disamping itu
akan dijelaskan beberapa perkara berkaitan dengan ibadah kurban dan aqiqah,
semoga memberi kefahaman yang jelas hingga kita dapat menghayatinya dengan
penuh keimanan kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada amalan
yang akan kita lakukan ini.
PENYEMBELIHAN QURBAN
Qurban ialah penyembelihan
binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat 'Idil Adhha)
dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. ,
iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya
disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada
syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah
nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).
Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri
makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta)
dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada
kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." (surah al-Haj:36)
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah
al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w.
telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh
manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada
menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat
kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan
kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia
(pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan
(pahala) qurban itu." (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan
al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata:
"Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w.
menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim."
Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu
kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda
yang bermaksud "Dengan
tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat
Ahmad dan Ibnu Majah)
HUKUM BERQURBAN
Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat
yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
n Islam
n Merdeka (Bukan
hamba)
n Baligh lagi
berakal
n Mampu untuk
berqurban
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
"Aku disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau." (Riwayat
al-Turmuzi).
"Telah diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi
kamu." (Riwayat Daruqutni)
Walaupun hukum berqurban itu
sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasullullah s.a.w
yang bermaksud: "Sesiapa
yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia
melakukannya." (Sila Rujuk: Fiqh
al-Sunnah)
PERLAKSANAAN QURBAN
·
Binatang yang diqurbankan daripada jenis unta, lembu
atau kerbau, kambing biasa yang berumur dua tahun, jika biri-biri telah berumur
satu tahun atau telah gugur giginya sesudah enam bulan meskipun belum cukup
satu tahun.
·
Binatang itu disyaratkan tidak cacat, tidak buta
sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong
lidahnya, tidak mengandung atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau
berkudis. Binatang yang hendak disembelih itu mestilah sihat sehingga kita
sayang kepadanya.
·
Waktu menyembelihnya sesudah terbit matahari pada
Hari Raya Haji dan sesudah selesai solat 'Id dan dua khutbah pendek, tetapi
afdhalnya ialah ketika matahari naik segalah pada Hari Raya Hhaji sehingga tiga
hari sesuadah Hari Raya Haji (hari-hari Tastriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
·
Daging qurban sunnat, orang yang berkorban disunnatkan
memakan sedikit daging qurbannya. Pembahagian daging qurban sunnat terdapat
tiga cara yang utamanya adalah mengikut urutan sepererti berikut:
I.
Lebih utama orang yang berqurban mengambil hati
binatang qurbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan
II.
Orang yang berqurban itu mengambil satu pertiga
daripada jumlah daging qurban, dua pertiga lagi disedekahkannya.
III. Orang yang
berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah daging, satu pertiga lagi
disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang
yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w: "Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah."
HIKMAH DAN FADHILAT
·
Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
·
Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri
kepada Allah
s.w.t.
·
Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati
mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
·
Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
·
Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia
terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
·
Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika
meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Muliakanlah
qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."
AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah pengertian dari segi
bahasa ialah rambut
dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara
ialah binatang
yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai
ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w.
dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan
aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari
kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud,
al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan
maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis
diatas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai
sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba
menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
Daripada Salman bin Amir
al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Untuk anak
lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya
kekotoran dan najis." (Riwayat Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
Menurut Imam Ahmad bin
Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum
diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang
tuanya diakhirat kelak.
HUKUM AQIQAH
n Hukum aqiqah itu
adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
n Penyembelihan
aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat
belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak
itu belum baligh.
n Jika anak telah
baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang
berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari
Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya
sendiri sesudah Baginda
s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
n Anak zina,
aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan
ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli,
manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu
mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
n Anak lelai
disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan
memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w.
memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor
kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat
al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w.
menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing.
(Riwayat Abu Dawud)
HUKUM-HUKUM YANG
LAIN BERKAITAN DENGAN QURBAN DAN AQIQAH
o Jika menyembelih
qurban sendiri hendaklah berniat: "Aku jadikan binatang ini qurban untuk diriku kerana Allah Ta'ala" dan
seumpamanya, atau jika penyembelihan aqiqah berniat : "Aku jadikan penyembelihan binatang ini
sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala."
o Jika untuk tolong
kepada orang lain maka hendaklah berakad iaitu dengan dua cara:
1)
Secara wakil, maka orang yang mewakilkan berkata: "Aku wakilkan atas diriku untuk
menghasilkan penyembelihan qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anak
ku...)." Orang yang menerima wakil menjawab: "Aku terima
sebagai wakil untuk menghasilkan penyembelihan qurban untukmu (atau aqiqah
untuk anakmu...)." (PERINGATAN: Orang
yang menerima wakil hendaklah melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh
diserahkan tanggungjawab menyembelih kepada orang lain).
2)
Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata: "Saya meletakkan atas zimmah tanggungan
tuan untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku (atau aqiqah untuk
anakku)." (PERINGATAN: Penerima
jika tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan
kepada orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang
berakad tadi).
o Daging qurban
sunnat disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang
mampu dalam bentuk masih mentah tetapi aqiqah sunnat dimasak dengan masakan
jenis manis seperti kurma, kicap dan sebagainya.
o Binatang unta,
lembu atau kerbau boleh dikongsi sebhagian untuk qurban dan sebahagian untuk
aqiqah.
o Disunnatkan
tulang-tulang binatang qurban itu tidak dipatahkan atau dipecahkan sama ada
oleh orang yang mengaqiqahkan atau yang memakannya. Cuma hendaklah diceraikan
pada setiap persendian tulang. Sekiranya dipecahkan juga maka tidaklah pula
makruh, tetapi khilaf aula (yakni bersalahan dengan yang utama).
o Daging aqiqah
atau qurban atau mana-mana bahagian dari binatang (seperti kulit, tulang dan
sebagainya) tidak boleh dijadikan upah kepada orang yang menyembelih dan
orang-orang yang menguruskan pemotongan. Upah untuk mereka jika diperlukan,
maka hendaklah diberi dalam bentuk wang atau harta benda yang lainnya.
o Orang kafir tidak
boleh diberi makan daging aiqah atau daging qurban, sekiranya telah diberi
umpamanya sekilo, maka wajib diganti dengan daging yang lain untuk memenuhi
daging yang kurang itu.
o Daging atau
mana-mana bahagian dari binatang qurban nazar atau aqiqah, haram dimakan atau
diambil oleh orang yang melakukannya.
QURBAN DAN AQIQAH BERAMAI-RAMAI
Sekarang ini ada pihak
tertentu seperti Masjid, Surau atau badan kebajikan dan orang perseorangan
menganjurkan majlis Qurban dan Aqiqah secara beramai-ramai. Pada dasarnya
amalan ini baik demi menggalakkan masyarakat Islam melakukan kedua-dua ibadah
yang sangat dituntut dalam Islam (Sunnat Muakkad). Namun yang demikian, beberapa
syarat berikut ini hendaklah dipatuhi:
n Pengurusan
hendaklah dilakukan dengan betul, dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
n Harga yang
dikenakan hendaklah dinyatakan termasuk kos pengurusan (Penyembelihan,
kenderaan, upah menyembelih, melapah dan sebagainya jika memerlukan upah).
n Hendaklah
diadakan aqad atau ijab dan qabul antara orang yang melakukan qurban atau
aqiqah dengan pihak pelaksana (AJK Qurban/ Aqiqah atau AJK Masjid/ Surau/ Badan
Kebajikan/ Orang perseorangan).
0 komentar:
Posting Komentar